Pages

Tuesday

7 Botol.



Beberapa minggu yang lepas saya telah ke Hospital Seremban untuk memeriksa luka jahitan selepas pembedahan. 

Sementara menunggu giliran,saya sempat memerhatikan gelagat para pesakit di sini. Ada seorang Pak Cik lingkungan umur 50-an yang sangat peramah telah menarik perhatian semua orang di situ. Dia menceritakan pengalamannya dirodok dengan pisau penebas rumput pada 5 tahun lepas. Lukanya parah. Namun, berkat meminum air Pati Ikan Haruan Polleney setiap hari sehingga habis 1 dozen, lukanya cepat pulih dan dia kini sudah mampu berjalan seperti biasa.

Saya mengerling kepada abang ipar saya yang tersengih-sengih mendengarkan Pati Ikan Haruan Polleney yang disebut-sebut sebagai minuman terbaik.

Semalam sebelum ke hospital.

Saya seperti diserang 'sawan' apabila dipaksa minum Pati Ikan Haruan Polleney oleh Along. Bagaimana saya mahu menggambarkan rasanya.

Hmm.

 Rasa pati tersebut sangat tidak sedap. Pelik. Ganjil dan berpuaka. Hanyir dan apabila mencecah tekak, seperti ada ratusan kepala ikan haruan menonjol-nonjol anak tekak saya supaya muntah. Rasanya tidak seindah namanya. Polleney. Sebutan yang sangat comel seperti meminum air jus buah-buahan buatan luar negara. Tetapi, hakikatnya rasanya sangat pelik menerawang ke otak sehinggakan menjadikan saya trauma mahu meminumnya kali kedua.

Otak rasa terbejat. Rasanya sangat dahsyat sehingga terngiang-ngiang di tekak biarpun hanya meneguk satu botol kecil.

Melihatkan saya yang berubah menjadi gedik, menggelitik seperti cacing yang membuat tarian kuda kepang, serta seakan-akan 'menurun' seperti didendangkan dengan muzik Mak Yong  tatkala minuman itu disuakan ke mulut, Rayyan dan Along ketawa terkekeh-kekeh geli hati.

Nampaknya khasiat air ini bukan saja mampu merubah saya menjadi seekor cacing, malah mampu membuatkan orang sekeliling saya bergembira dengan transformasi saya.

 "Minumlah sampai habis. Kan nak cepat baik. Anggap macam tak ada rasa."kata Along gaya memujuk.

"Along tak faham perasaan tu macam mana. Macam tengah minum semangkuk darah. Rasa macam diri ni dracula."balas saya dengan ayat metafora.

Kagum pada Rayyan yang berumur 1 tahun 4 bulan itu. Saya menyuakan sebotol Pati Ikan Haruan Polleney ke mulutnya. Saya ingatkan, dia akan termuntah apabila meneguknya. Sangkaan saya silap. Dia malah  meminumnya sambil berkata 'Sedap' versi pelat. 

Along juga meminumnya sedikit sambil berkata 'Sedap'.Sah, mereka adalah dua beranak yang mempunyai cita rasa yang pelik!

Bersusah payah saya cuba menghabiskan 1 beg Pati Ikan Haruan Polleney yang berjumlah 6 botol itu secara perlahan-lahan tanpa terpaksa. Kasihan melihat Along dan Abang Pajeli yang bersusah payah menjaga dan membelikan saya bermacam ubat dan makanan. Walaupun tidak suka, saya tahankan tekak untuk minum dengan ceria. 

1,2, dan 3.

Lega melihat jumlah botol yang semakin berkurang.Itu tandanya saya mampu menghabiskan ubat.

Namun.

Dua hari lepas.

Abang ipar saya pulang dengan nada riang. Menjinjit seplastik beg Pati Ikan Haruan Polleney. Kali ini  dengan perisa baru tambahan Gamat. Dengan selamba dia berkata,

 "Abang beli lagi Pati Ikan Haruan Polleney. Kali ni beli 6 dapat percuma 1. Nanti minum habiskan."

Peh, pengsan! 

Pati Ikan Haruan Polleney. Sesuai diamalkan oleh golongan yang mempunyai lidah tahan lasak dan berhati kental. 1 pek bersamaan RM31.90.

P/S: Doktor kata luka saya cantik. Tak bernanah. 27hb nanti dah boleh buka jahitan. Insya Allah.Nak cepat sihat kena makan ubat. Tekak, janganlah sedih. 7 botol saja lagi.Janji! :')

Wassalamualaikum w.b.t

11 jenazah dikebumikan:

Anonymous said...

hahaha..comel ! boleh bayangkan fatin menari kuda kepang macam mana.. hewhew.. Semoga cepat sembuh ye.. boleh kita lumba lari.. hehe :P

-naba

Sidratul Muntaha said...

@_@

Naba,kita rela makan sayur taugeh mentah daripada minum ubat ni sebenarnya.

Rasanya tak macam Mee Hailam lansung.Tipu.

P/S: Insya Allah.Nanti kita lawan lumba lari pergi kelas. :P

AJ Edrez said...

Semoga berjaya menghabiskan baki 7 botol tu ye. Tak lama lagi baiklah tu, InsyaAllah.

mastinah said...

hehe...

sidrah try minum sup haruan yg ori. hehe,..

smga cepat sembuh . :)

Muhammad Iqbal said...

Jujur, saya dapat imagine pelbagai ragam pesakit saya suatu hari nanti, insya-Allah.

Saya sedang meneliti jugak Tibb Nabawi ( Perubatan Nabi ) dan perubatan-perubatan Islam yang lain. Hebat sungguh tibb nabawi ni, perubatan moden tak mampu menghuraikannya. Kalau rajin, kajilah, insya-Allah tak menyesal. Tak perlulah makan drugs perubatan moden yang sangat bahaya tu.

Ubat memang tak sedap. Tapi, insya-Allah melegakan. Sabarlah, dalam fasa kafarah dosa itu.

#Kejujuran yang langsung tak dapat disangkal lagi ialah, saya sangat baca blog ni, serius!

Cuma, tak selalu komen sebab sibuk sikit. Teruskanlah menulis.

Nurain_Mummy said...

Assalamualaikum, Fatin....

Pesan dari akak, rajin-rajin makan dan minum ubat, nanti cepat sembuh.

Pati Ikan Haruan campur gamat, lagi cepat baik luka tu (Insya Allah).

Kuatkan semangat! Aja Aja fighting!! :)

Sidratul Muntaha said...

@Kak Ain

Selalunya selagi Along tak bukakan penutup botolnya dan bawa sampai ke depan mata saya, memang saya tak minum.hehe...

@mastinah

Pak cik tu ada cakap juga, yg ori dengan pati tak sama kesannya.Dia makan 18 ekor ikan haruan tapi tak baik-baik.Minum yg patinya baru baik.Wallahua'lam.

Cuba kamu minum dan selami perasaan saya.hehe...


@Dr Iqbal

Tibb Nabawi? Saya first time dengar. Insya Allah sementara tgh cuti sakit ni memang banyak benda boleh buat.Saya nak google buat research pasal tulah.thanks bagi idea.

Kafarah dosa?sentap...Thanks ingatkan. Saya lupa,makan ubat pun ujian... :')

Terima kasih atas sokongan.

@Kak Zila

Waalaikumussalam akak...
Kak,nanti akak dah bersalin pun kena minum air pati ni.

Saya bukan tak nak minum,tapi itulah,tiap kali minum mesti megalamani 'sawan'.hehehe...

Thanks akak.Aja-aja fighting!

:)

Muhammad Iqbal said...

Itu biasa. Ramai sudah lupakan Perubatan Nabi ( Tibb Nabawi ).

Dapatkan kitab Tibb Nabawi dalam bahasa arab atau english, melayu pun dah ada sekarang.Insya-Allah, lebih jelas.

Insya-Allah, saya pun nak cuba tolong senior untuk terjemah kitab tu dan beberapa kitab perubatan Islam yang lain ke dalam bahasa Melayu. Moga Allah permudahkan.

mastinah said...

haha...Insya ALLAH, nnti kta minum jugak pati ikan haruan ini. :)

Anonymous said...

Bagus,
tak sia2 pakcik tu ambik klas marketing, dia aplikasi, hebat marketing dia.

~curious~

nuyun said...

Salam kenal,
Memg dh lama silent reader.
Tp ptama kali baca en3 ni memg gelak sorang.
Agak mencuit hati. :-)
http://www.jutawanshaklee.com