Pages

Wednesday

Surat Untuk Awak.


Dengan Nama ALLAH yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum w.b.t.

Surat ini ditujukan untuk yang bernama awak.

Sekiranya awak berpeluang membaca penulisan ini, itu tandanya awak masih hidup. Masih ada umur untuk menambah baik pulih amalan-amalan yang yang awak rasakan lompong dan kosong. Alhamdulillah. Saya berdoa hati awak lurus dan terbuka untuk menerima kata-kata yang ingin saya sampaikan.

Awak.

Sebelum itu. Maafkan saya kalau penulisan saya nanti, membuatkan awak berjauh hati. Maafkan saya kerana berani-berani menegur gaya hidup awak sekarang. Tetapi, saya hanya mahu menyuarakan isi hati saya selama ini.Tentang rasa terkilan yang saya alami kerana kehadiran saya selama ini masih tidak mampu membawa awak untuk sama-sama menuju kejayaan.

Sedangkan saya tahu, jika kita menyanyangi saudara kita, kita akan sama-sama mengajak dia berpimpin tangan menuju jalan yang sama. Dan jalan yang mahu saya tuju adalah jalan Islam sebagai syariat hidup. Izinkan saya menghulurkan tangan kepada awak untuk berpimpin menuju jalan itu. Sudikah awak menyambutnya kemudian kita melangkah bersama?

Awak.

Untuk sekali lagi.Maafkanlah saya kerana tidak menegur awak selama ini. Saya tiada keberanian. Saya tiada kekuatan. Namun, hari ini saya berubah fikiran. Sementara saya masih diberikan kudrat untuk menulis dan menyampaikan, saya mahu menulis secara jelas dan terang. Tentang ajakan mari mengesakan Allah melalui sembahyang lima waktu sehari dan semalam. Maafkan saya kerana terlambat memberi pesan, sedangkan saban hari saya membiarkan awak kekosongan tanpa solat sebagai amalan harian.

Awak.

Marilah menunaikan solat.

Marilah menuju kejayaan.

Hari-hari awak dan saya mendengar laungan yang sama. Saya tahu awak dengar. Awak dengar sangat. Tetapi rasa berat mahu menyahutkan? Saya tahu. Saya pun pernah mengalami hal yang sama dahulu. Saya benci dipaksa bersolat oleh Ibu. Saya benci disuruh-suruh tetapi kegarangan Ibu telah memaksa saya mengambil wudhu dan bersolat juga. Begitulah saban hari, sehinggalah paksaan bertukar menjadi rutin. Apabila perkara rutin hendak ditinggalkan, hati akan berasa janggal, rasa kehilangan. Dengan sendirinya, rasa terpaksa bertukar halus menjadi rela.

Awak.

Tidakkah awak merasakan hal yang sama? Setiap kali awak menjauhkan diri mengelakkan daripada bersolat, hati awak rasa ‘sakit’, rasa kesepian, rasa kekosongan, rasa tiada arah dan penuh dengan kegelisahan? Izinkan saya bertanya dan jawablah awak secara jujur, pernahkah walau sekali hati awak terdetik ‘sakit’ begitu saat awak memilih untuk mengabaikan Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, dan Isya’ secara berkala? Jika awak merasakan kepedihan hati itu, itu tandanya awak masih punya rasa iman. Segeralah dilayan perasaan gelisah itu dengan solat. Tanyalah iman awak, sampai bila mahu berterusan hidup jauh daripada sejadah dan solat?

Ataupun hati awak sudah duduk tegar biasa?Tiada merasakan apa-apa waima sepicis rasa bersalah dan berdosa kerana tidak mahu atau malas menunaikan solat. Untuk masalah ini, saya hanya mampu berdoa semoga Allah masih mahu memberikan belas kepada awak dengan memberikan hidayah agar hati awak itu tidak selamanya di ambang angkuh kerana menafikan hak sebagai seorang hamba hina.

Awak.

Kita ini siapalah. Walau sekaya mana harta yang kita miliki. Walau sebijak mana akal yang kita miliki. Walau secantik mana rupa yang kita miliki. Kita ini tetap hamba hina yang tiada apa-apa. Kita bukan siapa-siapa. Apa yang kita ada, itu kerana Allah Maha Sudi Memberi. Sedangkan jika Allah mahu, bila-bila saja semua nikmat itu boleh ditarik balik. Sekelip mata. Lebih-lebih lagi, nikmat bernafas. Nikmat bernyawa. Nikmat roh masih tinggal di dalam jasad.

Sebelum segala nikmat itu pergi, mudah-mudahan awak diberikan hidayah untuk berubah. Ambillah wuduk. Bersolatlah. Jangan melarikan diri lagi. Jangan bertangguh-tangguh lagi. Sahutlah seruan Hayya Alas Solah. Sahutlah seruan Hayya alal Falah. Semoga umur dan amalan awak berkat. Semoga hidup awak terarah kerana kehidupan beragama tidak akan mengecewakan. Walaupun di dunia awak sengsara, awak akan melihat hasilnya di akhirat. Itu janji-Nya.

Awak.

Jikalau ada yang terkena sehingga menimbulkan benci dan sakit hati, maafkanlah saya. Niat saya tiada lain hanya mahu melihat umat Islam kembali kuat dengan bersolat. Semoga pintu hati awak akan terbuka juga nanti. Sesungguhnya saya hanya menyeru tanpa memaksa. Juga penyeru ini juga masih seorang manusia yang masih bertatih membaiki solatnya. Seruan ini terutamanya buat diri saya sendiri yang dhaif dan hina. Apapun. Pilihan masih di tangan awak. Terpulanglah jika masih mahu berterusan dengan gaya hidup jauh daripada-Nya. Gunakan akal yang Allah telah berikan untuk menilai sendiri. Cuma pinta saya, hati itu, jangan dibiarkan selamanya ia mati. Jangan dibiarkan, kerana apabila hati mati tiada ‘Nur’ yang dapat ‘difahami’ lagi.

Hidayah-Nya bukan setakat untuk dinanti. Tetapi untuk dicari.

Yang Benar,

Saya.

UIAM Gombak, 22 Februari 2012.

P/S: Kajian menunjukkan 80% umat Islam di Malaysia tidak bersolat. Tidakkah hatimu terpalu membaca penyataan ini, sayang?

Wassalamualaikum w.b.t.

6 jenazah dikebumikan:

Syamilsynz said...

nk bg seronok ketika solat ialah dgn menhayati makna2 ayat yg dibaca..insyaAllah, diri ini pun kene praktiskan..

Dya said...

Jom kita sama-sama doakan dia.

seonmul said...

saya sudi menyambut tanganmu dan melangkah ke sana bersama-sama :)

Puding karamel said...

sedih juga. di tempat akak, ramai islam, tapi yg tak solat ramai,juga yang buta al-quran.
mereka lebih mementingkan mandi safar, oakai penangkal untuk kesejahteraan hidup, rather that solat.
yang menulis tidak juga lebih baik dari yg ditulis, anyway..
hayya ala solah...

Sidratul Muntaha said...

@Syamil

Tapi bila solat dengan terkocoh-kocoh habis terbang semua bacaan apatah lagi terjemahan. Terima kasih atss peringatan.

@Dya
Jom. Jom Jom. :)

'Dia' yang saya maksudkan adalah general. Tapi mudah-mudahan hati 'dia' terbuka.Insya Allah.

@Ili

Ili, nak piggy back,tak nak sambut tangan je. hehe...


@Akak
Pengaruh cerita seram kat wayang pun boleh jadi juga. Baru-baru ni saya dengar satu perkongsian kat IKIM. Ustaz tu berkongsi ada budak Tingkatan 3 pakai susuk untuk cantik dan bijak.

Allahuakhbar, sedih dengar. Masalah akidah...

Haulid Al-Hararr said...

astaghfirullah....