
Kadang-kadang aku rasa aku jauh dengan Dia. Aku cuba dekat. Aku cuba rapat. Aku cuba cari apa yang hilang. Kenapa cinta semalam yang aku rasakan mendalam tiba-tiba menjadi rapuh kemudian renggang serta-merta.
Dia berfirman.
Jika aku berjalan mendapatkannya, Dia akan berlari mendapatkanku.
Aku sudah berjalan. Tetapi mengapa aku tidak terasa aku didakap dan dibelai tangan Tuhan? Rasa tersisih. Rasa cemburu mengulit diri. Melihat yang lain hanyut dan mabuk dalam percintaan bersama Dia.
Mungkinkah aku yang salah?
Kerana perjalanananku selama ini rupa-rupanya bukan ke arah-Nya. Langkahku yang bersimpang-siur tersasar, lalu harus bagaimana Dia berlari mendakapku?
Hati ini rasa tidak menentu jika sehari tidak menyebut nama-Nya tetapi mengapa cinta masih tak hadir sepenuh jiwa. Aku cuba melihat dan menilai perlakuanku, amalanku, serta hubunganku sesama manusia.
Mungkinkah ada yang tidak redha sehingga payah benar aku mahu berhubung dengan-Nya?
Orang asing. Orang dekat. Orang tengah. Orang jauh.
Maafkanlah segala silap dan salahku kerana aku tahu jika hablum minan nas ku terabai, hablum minallah ku juga turut timbul cacat celanya.
Maafkanlah aku jika ada salah lakuku yang aku sengajakan atau yang aku tidak sengajakan kerana aku ingin dicintai Tuhanku dengan cinta sebenar amalan. Maafkanlah aku jika ada yang tidak menyenangiku. Sehingga membuangku dari senarai sahabat Muka Buku atau Blogspot. Maafkanlah aku jika aku ini adalah punca hatimu remuk tercalar sedangkan aku gembira bergelak ketawa tidak tahu apa dosaku.
Maafkanlah aku jika kehadiranku tidak diperlukan malah semakin menambahkan beban.Aku akan cuba faham. Sesekalipun aku tidak akan mempertikaikan kerana aku tahu lumrah kehidupan, benci dan sayang adalah perasaan manusia biasa berhati insan.
Bencilah aku. Jika itu mampu membahagiakan kamu. Tetapi, aku akan masih di sini. Menyebut namamu dalam setiap doa kebahagiaaan kerana aku cintakan Tuhanku. Dan persaudaraan itu adalah kecintaan Tuhanku yang seharusnya menjadikan kecintaan ku juga.
Maakanlah aku kerana aku tidak tahu apa dosaku.
P/S: Iman membukit. Iman meruntuh. Segalanya terpancar daripada amalan dan gerak gaya. Tanyalah hati. Apa gayamu hari ini?
Wassalamualaikum w.b.t.

3 jenazah dikebumikan:
Kadang penulisannya menzahirkan banyak yang tersirat. Tahniah
:)
Terpulang kepada pembaca nak menatafsirkan yang tersirat itu bagai mana...
Kadang2 terasa jauh denganNya sedangkan ketenangan itu baru dimiliki semalam..(T_T)
Post a Comment